Selangor Laksana Saringan Komuniti Sekitar Taman Bayu Perdana, Klang

2 January 2021

Published By

Norzamira Che Noh
Berita Harian

Kerajaan Selangor mengadakan saringan bersasar komuniti secara percuma di sekitar Taman Bayu Perdana Klang mulai hari ini dan esok. Foto NSTP/Ihsan FB Amirudin Shari

SHAH ALAM, Jan 2  – Kerajaan Selangor menggesa penduduk di beberapa taman perumahan di Klang supaya melakukan saringan COVID-19 yang dilaksanakan mulai hari ini dan esok.

Saringan bersasar komuniti berkenaan membabitkan beberapa taman perumahan di Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana, Klang iaitu Taman Sri Andalas, Taman Bayu, Taman Desawan, Taman Desa Utama, Taman Chi Liung, Taman Petaling Indah dan Bandar Bukit Tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata saringan secara percuma itu akan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang

“Orang ramai yang tinggal di beberapa taman perumahan sekitar Jalan Batu Unjur 5, Taman Bayu Perdana disarankan untuk mengambil ujian saringan bersasar komuniti yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Segera daftar di laman sesawang SELangkah agar proses saringan lancar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, semalam.

Dalam pada itu, Selangor merekodkan 776 kes baharu COVID-19 sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Ia membabitkan Petaling dengan 242 kes; Hulu Langat (218); Klang (206); Gombak (48); Sepang (22); Kuala Langat (16); Kuala Selangor (13); Hulu Selangor (7) dan Sabak Bernam (4).

Secara keseluruhan, Klang merekodkan kumulatif kes aktif tertinggi dengan 4,751 kes diikuti Hulu Langat (2,802); Petaling (1,433); Gombak (917); Sepang (371); Kuala Selangor (332); Hulu Selangor (60) dan Sabak Bernam (47).

Sehingga kini, Selangor merekodkan 33,169 kes jangkitan COVID-19 yang mana 10,294 daripadanya adalah kes aktif.

Download the
Selangkah App

Stay Connected