Hanya beri nama dan nombor telefon

BeritaHarian
13 May 2020 by Ruhaida Md Zain

SHAH ALAM: Orang ramai diminta tidak memberikan maklumat terlalu peribadi ketika mengunjungi mana-mana premis sebaik membuat imbasan Kod QR sebelum memasuki premis berkenaan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud, sebaliknya berkata, mereka berhak menolak daripada memberikan maklumat itu dan hanya perlu menyatakan nombor telefon dan nama.

“Kita ada dapat maklumat, ada premis dan pusat beli-belah mempunyai aplikasi sendiri yang meminta maklumat lebih dari yang diperlukan.

“Kita mengesyaki mungkin mereka nak simpan, hendak beri kepada MITI kerana ia perlu disimpan tiga bulan. Kita juga tidak tahu sama ada untuk tujuan pemasaran dan pangkalan data mereka sendiri.

“Sebenarnya ada nombor telefon dan nama sudah memadai bagi memudahkan mereka dihubungi, tidak perlu nombor IC, alamat rumah dan sebagainya kerana itu milik peribadi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu katanya, sehingga 11 Mei lalu, sebanyak 21,064 premis di seluruh Selangor berdaftar di portal SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), manakala 1,039,288 pengunjung merekodkan kehadiran mereka ke premis-premis terbabit sejak diperkenalkan 5 Mei lalu.

“Terima kasih kepada yang mendaftar, Kerajaan Negeri yakin inisiatif SELangkah ini boleh menjadi sumber digital yang dapat meningkatkan kecekapan pengumpulan data, menjimatkan masa serta mengurangkan risiko jangkitan daripada perkongsian alat tulis sekiranya kehadiran direkodkan secara manual.

“Kerajaan Negeri turut berkongsi akses ke atas Sistem SELangkah ini bersama Jabtaan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bagi tujuan pengesanan kontak dan diharap ianya dapat memudahkan urusan pasukan petugas barisan hadapan melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan Operasi Prosedur Standard (SOP) pembukaan ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula, Kerajaan Negeri turut berkongsi akses log Sistem SELangkah kepada penguat kuasa dari pelbagai agensi seperti Kementerian Antarabangsa dan Industri, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Pihat Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Dr Mariah berkata, dengan kewujudan integrasi itu, premis perniagaan khususnya, tidak perlu lagi mewujudkan duplikasi rekod manual sekiranya pengguna menggunakan Sistem SELangkah.

“Bagaimanapun, log manual masih boleh digunakan bagi pengunjung-pengunjung yang tidak mempunyai telefon bimibit pintar, mungkin premis boleh menyediakan dua laluan bagi melancarkan proses ini.

“Penyelesaian bagi mereka yang tidak mempunyai telefon bimbit pintar kini sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menggesa kepada semua pemilik premis dan seluruh rakyat di Selangor yang masih belum mendaftar agar memanfaatkan sistem kendalian Menteri Besar Incorporated (MBI) ini.

“Melalui kaedah ini anda mampu melindungi premis anda, melindungi diri anda dan membantu memudahkan urusan petugas barisan hadapan yang perlu membuat pengesanan kontak.

“Kerajaan Negeri memberi jaminan melalui sistem ini, hanya nama dan nombor telefon sahaja yang direkodkan dan tiada data peribadi lain yang akan disimpan untuk tujuan komersialisasi,” katanya.