SELangkah jadi norma baharu rakyat Malaysia

BeritaHarian
21 July 2020 by Noraniza Azmi

Teknologi Kepintaran Buatan (AI) bukanlah perkara baru dalam penyelidikan perubatan. Malah, AIME singkatan daripada Artificial Intelligence for Medical Epidemiology mempunyai misi seiring untuk mewujudkan ekosistem epidemiologi digital menerusi keputusan berdasarkan data.

Penggunaannya dalam sistem kesihatan awam amat membantu untuk membuat keputusan cekap dan tepat pada masanya.

Semasa COVID-19 mula dikesan di Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif AIME, Dr. Helmi Zakaria ditugaskan untuk mengetuai portfolio Digital Epidemiology and Analytics bagi membantu Pasukan Petugas Khas Covid 19 Negeri Selangor – iaitu negeri yang berkepadatan paling tinggi di Malaysia dan telah berjaya menghasilkan SELangkah.

SELangkah merupakan salah satu Teknologi Kepintaran Buatan (AI) dilihat memainkan peranan penting untuk menangani pandemik COVID-19 di Malaysia.

Dengan membuat pengesanan digital menerusi teknologi QR kod, kadar penerimaan teknologi ini di Malaysia dilihat memberangsangkan iaitu sehingga kini 6.1 juta penduduk dalam Selangor telah mendaftar dalam sistem dan berjaya mengesan 227 pesakit COVID-19.

“Kami memutuskan untuk membuat sistem log digital yang mudah menggunakan teknologi QR. Singkatnya, jika anda memasukkan kod QR di kedai anda, ketika pengunjung melangkah masuk, mereka mengimbasnya dan dengan berbuat demikian mereka meninggalkan nombor telefon mereka di sana.

Tiada maklumat sensitif yang lain. Sekiranya kita mengetahui seseorang di kedai itu dijangkiti kemudian, petugas kesihatan dapat menggunakan data dan mengesan semua pengunjung di kedai berdasarkan cap waktu mereka,” katanya.

Cara mudah menggunakan aplikasi SELangkah

Dr. Helmi turut menyatakan bahawa teknologi ini sama sekali tidak sempurna namun ia merupakan tindakan yang betul di mana kita tidak membiarkan kesempurnaan menghalang inovasi yang cukup baik.

Jejak kontak QR misalnya tidak dirancang dari perspektif Contact Tracing semata-mata tetapi dari segi keperluan perniagaan untuk terus beroperasi dengan selamat semasa musim wabak.

“Oleh itu, pemerintah boleh menentukan dasar, tetapi “norma baharu” akan ditentukan oleh rakyat dan keperluan mereka. Maksudnya, teknologi ini boleh menjadi norma baharu jika ia melibatkan norma lain.

Panduan menggunakan SELangkah kepada pemilik premis perniagaan

Sekiranya penjejakan digital adalah pilihan yang membolehkan ekonomi dimulakan semula, kedai dibuka, dan anak-anak kembali ke sekolah – maka saya rasa ya, masyarakat akan berunding dan mengambil ini sebagai pertukaran normal kita setiap hari,” tambahnya lagi.