PKPB: Selangor perkenal ‘SELangkah’ untuk pengesanan kontak

BERNAMA
4 July 2020

SHAH ALAM, 4 Mei — Kerajaan Selangor hari ini memperkenalkan inisiatif ‘SELangkah’, sistem pendaftaran dalam talian bagi individu untuk memasuki mana-mana premis di negeri ini semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk pengesanan kontak bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata bagi menjayakan inisiatif itu, pemilik premis diminta mencetak sendiri kod QR menerusi portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my mulai esok dan mempamerkannya di premis masing-masing.

Beliau berkata pengunjung pula perlu mengimbas poster kod QR tersebut menggunakan fungsi kamera telefon bimbit masing-masing, sama ada sebelum memasuki premis atau semasa membuat bayaran, bergantung kepada olah atur pemilik premis berkenaan.

“Inisiatif SELangkah atau ‘Langkah Masuk Dengan Selamat’ bertujuan sebagai pendaftaran individu yang memasuki mana-mana premis di negeri ini dengan mudah dan pantas. Ia berobjektifkan untuk melindungi premis perniagaan dan pelanggan selain membantu pasukan barisan hadapan daripada penularan wabak COVID-19.

“Kebanyakan premis perniagaan telah pun berdaftar namun jika ada yang masih belum melakukannya, pemilik premis boleh membuat pendaftaran menerusi portal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata log lawatan pengunjung menerusi inisiatif itu akan dikawal selia oleh pentadbiran kerajaan negeri dan pegawai kesihatan awam yang akan memudahkan serta mempercepatkan pengesanan kontak sekiranya terdapat laporan jangkitan wabak COVID-19 di premis terlibat.

Jelasnya, kaedah pendaftaran pengunjung sebenarnya sudah menjadi kelaziman kerana diamalkan khususnya ketika menghadiri mesyuarat atau kursus malah turut dilakukan bagi mereka yang tinggal di kondominium.

Pelaksanaan inisiatif SELangkah juga katanya dapat meningkatkan kecekapan pendaftaran pengunjung di premis awam dan perniagaan berbanding secara manual iaitu menggunakan buku log.

“Inisiatif SELangkah diharap dapat membentuk normal baharu bagi kegiatan ekonomi semasa fasa PKPB. Kawalan wabak COVID-19 cuma akan berkesan apabila semua pihak memainkan peranan masing-masing,” katanya.

— BERNAMA