COVID-19: Proses jejak kontak menerusi portal

BERITA HARIAN
by Nor Haidya Syafira Amir Dec 11, 2020

KLANG: Selangkah Ventures Sdn Bhd melancarkan penyelesaian digital bersepadu pertama di Malaysia bagi proses menjejaki kontak dan saringan pantas COVID-19 menerusi Portal Saringan Komuniti Selangkah.

Portal ini menawarkan integrasi perantaraan sistem bagi penjejakan kontak, ujian saringan pantas, diagnosis, laporan serta pemantauan yang pada masa ini masih belum bersepadu.

Pengerusi Selangkah Ventures Sdn Bhd, Dr Muaz Omar, berkata proses integrasi ini adalah penting bagi mengurangkan lambakan ujian terutamanya apabila berlaku peningkatan kes mendadak di dalam sesebuah komuniti.

“Kami berasa bangga kerana sekali lagi berjaya merintis sistem integrasi berstruktur dan penyelesaian analitik yang didemokrasikan serta telus bagi semua pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata 69 peratus daripada penduduk di beberapa kawasan perumahan yang hadir sudah melakukan pra-pendaftaran kendiri melalui Selangkah.

“Sebanyak 44.2 peratus daripada populasi sasaran kawasan Meru, Klang disaring dalam masa lima jam.

Keputusannya pula boleh disemak dalam masa 24 jam selepas saringan dijalankan.

“Ternyata digitalisasi memudahkan urusan penjejakan kontak dalam mengekang penularan wabak ini,” tulisnya dalam ciapan di Twitter.

Orang ramai disaran mendaftar dengan Selangkah untuk menerima notifikasi mengenai program saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri Selangor yang akan dijalankan berhampiran kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Selangkah, orang ramai boleh layari www.selangkah.my atau ikuti akaun media sosial rasmi Selangkah di
Facebook (https://www.facebook.com/mySElangkah) dan Twitter (https://twitter.com/selangkah_cvd19).