SELangkah bakal digunakan kesan kontak tibi, denggi

UTUSAN MALAYSIA
Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL 3 November 2020, 5:43 pm

AMIRUDIN Shari (kiri) bercakap sewaktu mesyuarat ketiga persidangan penggal ketiga dewan Negeri Selangor yang ke empat belas pada hari ini.-UTUSAN/Zulfadhli Zaki

SHAH ALAM: Menteri Besar mencadangkan aplikasi SELangkah yang kini digunakan untuk mengesan kontak Covid-19 digunakan bagi mengesan lokasi wabak serta kontak pesakit tibi dan denggi.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun SELangkah digunakan untuk mengesan kontak Covid-19, aplikasi itu wajar ditambah baik untuk membantu Jabatan Kesihatan negeri mencegah penyakit lain.

“Kes penyakit denggi dan tibi agak membimbangkan di Selangor, jadi kita boleh mempertimbang menggunakan SELangkah untuk bantu atasi penularan penyakit lain.

“Aplikasi seperti ini terbukti banyak membantu kita mengesan kontak Covid-19 dan mungkin selepas ini boleh diluaskan lagi penggunaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi berhubung kos membangunkan SELangkah serta keberkesanan membantu mencegah penularan Covid-19.

Pada 4 Mei lalu, kerajaan negeri memperkenalkan SELangkah yang merupakan sistem menjejaki kontak rapat pesakit Covid-19 pertama di Malaysia.

Aplikasi tersebut juga menyediakan pengesanan menerusi ciri peta dan semakan premis yang membolehkan pengguna mengetahui tarikh sanitasi premis bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Dalam pada itu, menjawab soalan ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkaitan status Selangor Business Capital (SBC) di Cyberjaya, Amirudin berkata, projek tersebut bakal mewujudkan bandar baharu di kawasan Selatan Selangor.

Katanya, projek tersebut juga mempercepat pembangunan pelbagai infrastruktur moden yang menjadi asas kepada pertumbuhan bandar baharu.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pihak yang membangunkan pusat ekonomi baharu ini akan memohon kebenaran merancang pada suku pertama tahun depan.

“Kita yakin SBC bakal mengubah landskap dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membawa pelbagai limpahan manfaat kepada negeri serta negara. Kita juga sedang menilai rakan strategik serta pelabur berpotensi untuk melabur projek SBC,” ujarnya.

SBC bakal dibangunkan PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya di atas tanah seluas 56 hektar. -UTUSAN ONLINE